GISBH: LAPAN TELAH DIDAKWA, TERMASUK SEORANG DIHUKUM PENJARA 10 TAHUN SEHINGGA KINI

04/10/2024 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Selepas Op Global dilancarkan awal bulan lepas dan beberapa serbuan terhadap rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) giat dijalankan, lapan individu telah didakwa di mahkamah di tiga negeri atas pertuduhan mengugut, menganiaya dan melakukan amang seksual tehadap kanak-kanak.

Pada 12 Sept lepas, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak perempuan lima hingga enam tahun dengan menekap sudu besi panas pada lengan mangsa sehingga melecur di sebuah pusat jagaan di Seremban Ogos lepas.

Di Mahkamah Majistret Putrajaya pada 18 Sept pula, seorang ahli perniagaan yang juga anggota GISBH, Mohamad Riza Makar, 39, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut seorang wanita berusia 25 tahun di tempat letak kenderaan di Presint 4, pada 9 Sept.

Keesokannya tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023. 

Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Pada 20 Sept di Mahkamah Sesyen di Seremban, seorang lagi pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia 12 dan 13 tahun di madrasah berkenaan, tahun lepas.

Sementara itu pada 26 Sept, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap guru agama Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas mengaku bersalah menganiaya tiga kanak-kanak lelaki dengan merotan dan menekan dada mangsa menggunakan lututnya di dua sekolah yang dikaitkan dengan GISBH.

Tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM10,000 dan sekiranya gagal mamatuhi bon, boleh dipenjara enam bulan.

Hari ini seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH Mohd Syahid Hanapiah, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dengan merotannya di sebuah rumah amal di Bandar Country Homes, Rawang.

Sebelum ini media melaporkan pihak polis telah melancarkan Op Global awal bulan lepas dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan, dan  359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut ditahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan