PENJAGA JENTERA ELEKTRIK DIREMAN MINTA RASUAH RM30,000

04/10/2024 06:19 PM

GEORGE TOWN, 4 Okt (Bernama) -- Seorang penjaga jentera elektrik di sebuah institut di Pulau Pinang direman enam hari hingga 9 Okt ini kerana disyaki meminta suapan RM30,000 sebagai balasan bagi mendapatkan kerja perkhidmatan pembaikan sivil di tempat kerjanya.

Perintah reman terhadap lelaki berumur lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret George Town di sini hari ini.

Menurut sumber, suspek selaku penguasa projek di institut tempatnya bekerja telah meminta wang rasuah berkenaan daripada seorang pengurus syarikat yang mendapat kerja perkhidmatan pembaikan sivil bangunan di institut berkenaan.

"Suspek telah meminta pengurus syarikat berkenaan untuk memberikan wang RM30,000 secara tunai kepadanya dalam satu perbualan telefon dan wang itu sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja perkhidmatan pembaikan sivil bangunan secara sekali bayar berjumlah hampir setengah juta ringgit," katanya.

Lelaki terbabit kemudian ditahan dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Pulau Pinang di sekitar Penaga dekat sini kira-kira 8 malam tadi.

SPRM Pulau Pinang juga difahamkan telah menyita Kereta Ford Mustang GT Auto yang dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000, sebuah motosikal BMW R1200 GS Adventure (RM72,000), sebuah motosikal Kawasaki 1400 GTR (RM40,000) dan barang kemas bernilai kira-kira RM7,000.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan