PDRM SIASAT UNSUR BURUH PAKSA DI GISBH, 24 DIREMAN LAGI TERMASUK PENGURUSAN TERTINGGI

30/09/2024 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memulakan siasatan terhadap dakwaan unsur buruh paksa dilakukan oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) terhadap pekerjanya.

Hal ini berikutan 24 individu termasuk pengurusan tertinggi dan isterinya direman lagi selama lima hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan yang dilaporkan oleh bekas pekerja kumpulan itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata semua individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022.

Pada 25 Sept lepas, polis memaklumkan menerima 10 laporan di seluruh negara dibuat bekas ahli kumpulan berkenaan, yang mendakwa dieksploitasi ketika bekerja di syarikat itu serta tidak menerima gaji.

Ia melibatkan mangsa berusia lingkungan 14 hingga 20-an dan lokasi kejadian di Miri, Sarawak; Rawang, Selangor dan Alor Setar, Kedah antara 2013 hingga tahun ini.

Laporan dibuat selepas Razarudin menggesa agar individu yang pernah menjadi mangsa kumpulan berkenaan tampil membantu siasatan.

Sebelum ini kesemuanya direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam dan kemudian tempoh reman dilanjutkan empat hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Pindaan) 2022. 

Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata 80 kertas siasatan telah dibuka susulan penahanan 359 pengikut GISBH di seluruh negara.

Beliau berkata sebanyak 1,226 pegawai dan anggota termasuk PDRM, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam proses siasatan dan tindakan dalam menangani kes itu.

Beliau turut menyuarakan rasa yakin terhadap kemampuan PDRM dalam menyelesaikan siasatan berkaitan kes-kes GISBH.

Kes melibatkan GISBH turut mendapat perhatian pihak berkuasa lain dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menjalankan lebih 60 semakan audit terhadap GISBH dan syarikat serta individu berkaitan dengannya, bagi tahun-tahun taksiran terdahulu.

LHDN memaklumkan kesemuanya telah dikenakan tindakan kompaun dan penalti cukai bagi tahun taksiran yang diaudit dan telah dibayar pembayar cukai tersebut.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud mengesahkan tiada pelajar serta petugas institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan terlibat dengan syarikat berkenaan.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun sedang memantau perkembangan di semua IPT dan akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang kegiatan GISBH yang melibatkan penuntut atau warga kerja.

PDRM melancarkan Op Global pada awal bulan ini dan telah melakukan serbuan terhadap rumah amal di seluruh Semenanjung Malaysia yang dikaitkan dengan GISBH, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Dalam serbuan itu 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pihak pengurusan tertinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan