JKDM PAHANG GAGALKAN CUBAAN EDAR ROKOK SELUDUP, MINUMAN KERAS LEBIH RM2.6 JUTA

23/10/2024 04:38 PM

KUANTAN, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan pengedaran rokok seludup dan minuman keras berjumlah lebih RM2.6 juta termasuk cukai serta duti selepas menyerbu dua gudang di Lukut, Negeri Sembilan bulan lepas.

Pengarahnya Mohd Asri Seman berkata dalam serbuan pertama sekitar 8 pagi pada 28 Sept lepas, pihaknya menemukan tiga juta batang rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM286,118 yang dianggarkan RM2.1 juta termasuk cukai dan duti yang disimpan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Perdana, Bukit Palong.

“Bertindak atas maklumat, pihak kami menyerbu premis berkenaan yang tidak berpenghuni dan menemukan pelbagai jenis rokok. Usaha mengesan pemilik premis masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan dalam serbuan kedua di premis berasingan di lokasi dan hari yang sama pihaknya merampas minuman keras 3,928 liter bernilai RM65,538 membabitkan nilai  cukai serta duti berjumlah lebih RM227,597.

“Ketika serbuan dilakukan sekitar 2 petang hanya terdapat alatan memproses dan minuman keras dalam premis itu dan siasatan awal mendapati gudang berkenaan memproses dan membotolkan minuman keras yang disyaki tanpa lesen kastam untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Kedua-dua kes berkenaan setakat ini tidak melibatkan sebarang tangkapan dan masing-masing disiasat mengikut Akta Kastam 1967 serta Akta Eksais 1976.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan dengan maklumat boleh disalurkan menerusi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan