KASTAM PERAK PATAHKAN CUBAAN SELUDUP MINUMAN KERAS BERNILAI RM2.8 JUTA

26/10/2024 10:57 AM

IPOH, 26 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama ke negara ini, dengan nilai keseluruhan RM2.8 juta di tiga lokasi berasingan, bulan ini.

Pengarahnya Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu telah melakukan serbuan di sebuah premis di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, sekitar pukul 4.30 petang pada 14 Okt lepas.

"Hasil pemeriksaan berjaya menemukan 6,100 liter minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai termasuk cukai RM557,346 dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua lagi serbuan dilakukan secara berasingan di dua premis di Ipoh pada 18 Okt yang berjaya menemukan sebanyak 26,756 liter minuman keras pelbagai jenama. Nilai keseluruhan bagi penemuan ini dianggarkan RM2.25 juta termasuk cukai.

Dua lelaki berusia 43 dan 64 tahun ditahan bagi membantu siasatan menerusi dua serbuan berasingan itu.

Katanya modus operandi yang digunakan bagi kesemua kes adalah dengan menyimpan minuman keras disyaki barang tidak berkastam bagi mengaburi pihak berkuasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan