DUA REMAJA PEREMPUAN BERDEPAN DETIK CEMAS HAMPIR DICULIK DI GERIK

23/10/2024 10:11 PM

IPOH, 23 Okt (Bernama) -- Dua remaja perempuan berusia 14 tahun menempuh detik cemas apabila hampir menjadi mangsa culik di Kampung Padang, Gerik dalam kejadian berasingan pada Isnin dan semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik menerima dua laporan berhubung kes itu yang berlaku berhampiran kawasan tanah perkuburan kampung berkenaan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian 6.45 pagi pada Isnin lepas, mangsa pertama dilaporkan sedang menunggang basikal dalam perjalanan ke sekolah sebelum sebuah van kelabu berhenti di hadapannya.

Zulkafli berkata pada masa sama, sebuah lagi van warna putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran menghimpit di bahagian tepi sebelah kanan serta mengikuti mangsa sehingga hadapan tanah perkuburan terbabit.

“Semasa kejadian itu, terdapat seorang wanita yang dikenali melihat kejadian berkenaan dan telah memanggil mangsa menyebabkan kedua-dua van berkenaan terus beredar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zulkafli berkata kejadian kedua pula berlaku sewaktu seorang lagi mangsa sedang berjalan kaki dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di kampung berkenaan pada 3.20 petang semalam.

Beliau berkata mangsa telah dihimpit oleh sebuah van warna putih menggunakan nombor pendaftaran negara jiran dan dua lelaki yang tidak dikenali memakai pelitup muka telah menarik beg sekolah dan menyeretnya sehingga terjatuh di kawasan tanah perkuburan kampung itu.

“Bagaimanapun, pengadu telah diselamatkan oleh abang kandungnya yang tiba di situ dengan menendang seorang suspek, selepas itu kedua-dua suspek telah melarikan diri dengan menggunakan van terbabit.

“Siasatan mengenai kedua-dua laporan yang diterima sedang dijalankan dan sebagai langkah proaktif pihak polis telah menjalankan rondaan pencegahan jenayah di sekolah, kampung serta kawasan yang berpotensi berlakunya kejadian jenayah,” katanya.

Zulkafli berkata pihak polis menasihatkan supaya ibu bapa atau penjaga memberi perhatian yang lebih terhadap keselamatan anak-anak dengan menghantar dan mengambil mereka sendiri ketika pergi dan pulang dari sekolah bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

“Ibu bapa dan penjaga juga perlu menasihati anak-anak agar tidak mengikuti atau menghampiri orang yang tidak dikenali. Usaha mengesan saksi dan suspek sedang giat dijalankan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil ke balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan