LELAKI NEPAL CUBA CULIK KANAK-KANAK DI RAWANG DIPERCAYAI TERLALU RINDU ANAK

28/10/2024 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki warga Nepal yang cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Rawang pada Selasa lepas dipercayai berbuat demikian kerana terlalu merindui anaknya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata siasatan mendapati suspek berusia 38 tahun itu mempunyai dua anak yang lebih kurang sebaya dengan mangsa.

“Oleh kerana rindu, dia mula berkelakuan sedikit tidak siuman. Kali terakhir dia balik ke Nepal untuk berjumpa anak dan isterinya ialah sekitar Hari Raya Aidilfitri 2023

“Suspek dirujuk ke bahagian psikiatri Hospital Sungai Buloh dan polis sedang menunggu keputusan. Polis sedang menyemak dengan Jabatan Imigresen Malaysia berkenaan pas keluar masuk dan pas lawatan kerja sementara suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak lelaki berkenaan nyaris dilarikan dari sebuah rumah di Kampung Bunga Raya selepas suspek memperkenalkan diri sebagai tukang cuci (cleaner) sebelum tiba-tiba masuk ke ruang tamu rumah kira-kira 12.40 tengah hari.

Lelaki itu bagaimanapun lari tanpa sempat mengambil kanak-kanak berkenaan selepas ibu mangsa menjerit meminta pertolongan sebelum dia diberkas penduduk sekitar dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan