WANG SIMPANAN PESARA LEBIH RM478,000 LESAP ANGKARA PELABURAN TIDAK WUJUD

25/10/2024 01:50 PM

KUANTAN, 25 Okt (Bernama) -- Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM478,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pada mulanya lelaki berusia 69 tahun itu telah berminat dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi laman Facebook pada Julai lepas.

Beliau berkata mangsa turut diberikan pautan untuk memuat naik sistem pelaburan berkenaan selain suspek telah memberikan latihan menerusi aplikasi WhatsApp serta meyakinkan warga emas itu boleh mendapat keuntungan sehingga 300 peratus daripada jumlah saham yang dilabur.

"Justeru, mangsa telah membuat pemindahan wang simpanannya berjumlah lebih RM478,000 dengan 33 kali transaksi ke empat akaun yang diberikan oleh suspek bermula 10 Sept sehingga Selasa lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa mula curiga apabila wang yang dilabur tidak dapat dikeluarkan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.

Katanya masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan