LIMA LELAKI DITAHAN DISYAKI TERLIBAT CULIK WARGA ASING

25/10/2024 06:34 PM

KLANG, 25 Okt (Bernama) -- Polis menahan lima lelaki termasuk seorang warganegara tempatan dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang warganegara asing di sekitar Sepang baru-baru ini, kata Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan. 

Beliau berkata kejadian awal pagi 18 Okt itu berlaku ketika mangsa yang merupakan warganegara China  dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan menaiki perkhidmatan e-hailing sebelum ditahan sebuah kereta di Plaza Tol Putrajaya. 

"Empat suspek warganegara asing telah turun dari kereta itu dan melarikan mangsa yang kemudian dikurung di sebuah premis di ibu kota.  

"Polis percaya hal itu bertujuan melakukan pemerasan terhadap keluarga mangsa dengan mengatakan mangsa berhutang dengan suspek dan telah bertindak meminta wang tebusan kira-kira RM300,000," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini hari ini. 

Hussein berkata, susulan itu pada 19 Okt polis berjaya menemukan mangsa dalam keadaan cedera di Hospital Kuala Lumpur akibat cubaan menyelamatkan diri dengan terjun dari bangunan tempat dia ditahan sekali gus membawa kepada penahanan empat suspek itu. 

"Tangkapan seterusnya pada 22 Okt iaitu terhadap seorang lelaki tempatan dan kes ini masih dalam peringkat siasatan untuk kita mencari barang kes," katanya.  

Beliau berkata kesemua suspek warganegara asing berusia antara 30 hingga 40 tahun direman hingga Isnin ini manakala suspek warga tempatan hingga Selasa untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, berhubung perkembangan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dicabul selepas diculik di Bandar Bukit Tinggi 1 di sini, Hussein berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya minggu hadapan. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan