POLIS TAHAN LELAKI BERSAMA LIMA BUNGKUSAN GANJA DI JEMPOL

28/10/2024 03:14 PM

JEMPOL, 28 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki bersama lima bungkusan ganja dianggarkan seberat 5,000 gram bernilai RM15,500 menerusi Ops Tapis Khas di sekitar Bahau pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada 8.10 malam menerusi operasi bersepadu pencegahan jenayah kontinjen Negeri Sembilan. 

“Lelaki tempatan dari Johor itu ditahan di dalam sebuah kereta jenis Honda City berdekatan sebuah pasar raya. Hasil pemeriksaan, polis menjumpai bungkusan balutan surat khabar yang mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati ia mengandungi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah berbahaya jenis ganja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, lelaki itu tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing terhadap suspek adalah negatif.

Hoo berkata lelaki itu direman tujuh hari bermula 26 Oktober bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan