SIASATAN LAPORAN KES CULIK DI GERIK: POLIS SIASAT KES PERTAMA, SAHKAN KES KEDUA HANYA REKAAN

26/10/2024 12:19 AM

IPOH, 25 Okt (Bernama) -- Polis sedang memburu suspek kes cubaan culik di kawasan berhampiran tanah perkuburan Kampung Padang, Gerik, Isnin lepas, di samping memperhebatkan rondaan di sekolah-sekolah sekitar daerah berkenaan sebagai langkah keselamatan, kata Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, beliau berkata polis turut mengetatkan kawalan pintu sempadan negara di Pengkalan Hulu, kerana kejadian itu dikatakan membabitkan kenderaan menggunakan nombor pendaftaran negara jiran.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima dua laporan cubaan culik dengan kejadian Isnin lepas membabitkan sebuah van berwarna kelabu dan sebuah lagi berwarna putih dengan nombor pendaftaran negara jiran menghimpit basikal yang ditunggang seorang remaja perempuan berumur 14 tahun.

Kedua-dua van itu kemudiannya terus beredar apabila ada seorang wanita yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian, memanggil nama remaja berkenaan.

Azizi bagaimanapun hari ini menafikan laporan mengenai kes cubaan culik kedua yang dikatakan berlaku pada hari Selasa, apabila siasatan mendapati ia hanya rekaan seorang remaja semata-mata.

“Saksi telah dipanggil dan hasil temu bual... mungkin dia mendengar kejadian pertama, dan berilusi sehingga bermimpi, jadi kejadian pertama hari Isnin lepas benar-benar berlaku, tapi kedua (Selasa) tidak pernah berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan