KPDN TAHAN LELAKI BELI RON95 DIPERCAYAI UNTUK DISELEWENG DI BELURAN

28/10/2024 09:22 PM

SANDAKAN, 28 Okt (Bernama) --  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang lelaki dalam serbuan 'Kita Gempur' selepas dipercayai cuba menyeleweng minyak petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Beluran pada Sabtu lepas. 

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sandakan Azdy Zukkry John berkata dalam serbuan pada 3.40 petang itu didapati seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun membeli 893.71 liter petrol bersubsidi bernilai RM1,832.10 dan kemudian minyak itu diisi ke dalam lima tong dram berwarna biru.

"Pemeriksaan awal mendapati suspek berkenaan tidak memiliki sebarang kebenaran atau permit untuk membuat pembelian minyak petrol RON95 berkenaan, suspek kemudian ditahan dan lima tong dram berisi minyak itu turut di sita.

"Turut dirampas sebuah lori muatan tiga tan, 19 tong dram kosong serta resit pembelian minyak, selain itu  KPDN juga bertindak menyita lesen barang kawalan serta resit jualan pihak stesen minyak terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pengusaha syarikat juga akan disiasat.

Dalam pada itu, Azdy meminta masyarakat menjadi sebahagian gerakan massa yang menyokong inisiatif 'Kita Gempur' iaitu membanteras ketirisan dan manipulasi barang kawalan serta barang bersubsidi di sekitar Sandakan.

Beliau berkata sebarang aduan boleh dikemukakan ke talian rasmi iaitu melalui WhatsApp 019-8488000, talian hotline 03-88826088 atau 6245 dan saluran aduan #HapusKartel yang dikendalikan oleh MyCC di www.mycc.gov.my/e-aduan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan