KPDN PULAU PINANG SERBU STOR HARAM SELEWENG MINYAK PEKET 1KG

28/10/2024 07:05 PM

PERMATANG PAUH, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar aktiviti menyeleweng minyak masak peket 1 kilogram (kg) selepas menyerbu sebuah stor haram di Permatang Pauh di sini hari ini

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata serbuan itu dijalankan hasil risikan dan intipan yang dilakukan oleh pasukan risik KPDN Pulau Pinang sejak sebulan lepas.

Beliau berkata ketika serbuan terdapat tiga pekerja terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an sedang menggunting peket minyak untuk dimasukkan ke dalam tangki IBC (intermediate bulk container) dan tergamam sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. 

“Dalam serbuan ini, sebanyak 2,000 kg minyak masak peket 1 kg telah disita iaitu 720 kg telah dipindahkan ke dalam tangki IBC manakala baki 1,280 kg lagi masih dalam peket dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM7,000.

“Sindiket disyaki membeli minyak masak peket 1 kg bersubsidi dan dikumpulkan di stor haram ini yang beroperasi tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan, kemudian peket minyak itu akan digunting dan dipindahkan ke tangki IBC disyaki untuk dijual semula kepada pasaran berskala besar berkemungkinan restoran dan pihak industri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.

Berdasarkan siasatan awal, Jegan memaklumkan pihaknya percaya premis yang terletak di kawasan tersorok itu telah beroperasi sejak tiga bulan lepas namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti majikan kepada tiga pekerja warga asing terbabit.

“Berdasarkan temu bual, pekerja terbabit mendakwa baru sehari bekerja di situ dan sebelum ini bekerja di kedai runcit berhampiran dan semakan mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai dokumen perjalanan sah serta memiliki permit kerja sementara dalam sektor peruncitan,” katanya.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan itu diperoleh sama ada ia melibatkan pemborong, peruncit atau pengilang dengan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan