SINDIKET JUAL SIJIL CUTI SAKIT PALSU TUMPAS, ENAM INDIVIDU DITAHAN

30/10/2024 10:00 AM

JOHOR BAHRU, 30 Okt (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket yang dipercayai menjual sijil cuti sakit palsu susulan penahanan enam individu dalam tangkapan berasingan di sekitar Iskandar Puteri, Plentong, Skudai dan Masai, Pasir Gudang, minggu lepas. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun pada 10.05 pagi, 17 Okt lepas. 

Beliau berkata bertindak atas maklumat, pasukan petugas daripada bahagian siasatan jenayah komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 26 dan 27 tahun di sekitar Iskandar Puteri, Plentong dan Skudai di sini, pada 21 Okt lepas.

“Susulan tangkapan itu, sepasukan bahagian siasatan jenayah komersil IPD JBU dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor menahan seorang lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 24 hingga 31 tahun di sekitar Skudai dan Masai, Pasir Gudang, pada 23 Okt lalu. 

“Kita turut merampas 1,363 sijil cuti sakit disyaki palsu, tujuh kad bank pelbagai jenis, tujuh telefon bimbit, sebuah motosikal jenis Yamaha, dan wang tunai berjumlah RM40,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Balveer Singh berkata hasil siasatan dijalankan mendapati sindiket itu dipercayai menjual sijil cuti sakit palsu berkenaan kepada pekerja-pekerja syarikat dan kilang swasta di sekitar daerah ini.  

“Kesemua suspek telah direman di Mahkamah Johor Bahru bermula 21 hingga 27 Okt, dengan dua daripada mereka telah pun dituduh di mahkamah sama, pada Khamis (24 Okt) lepas.

“Kes disiasat di bawah ⁠Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 471 KK (boleh dihukum di bawah Seksyen 468 KK), Seksyen 474 Kanun KK (boleh dihukum di bawah Seksyen 466 KK), ⁠⁠Seksyen 472 KK (boleh dihukum di bawah Seksyen 467 KK) dan Seksyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301),” katanya. 

Beliau berkata siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendakwa baki suspek terlibat dan memohon orang ramai yang terkesan dengan perkara itu agar tampil membuat laporan di balai polis berhampiran. 

“Pada masa sama, kita menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam pemalsuan dokumen kerajaan kerana tindakan terbabit adalah jenayah serius dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan