KASTAM PULAU PINANG BONGKAR BILIK RAHSIA SIMPAN ROKOK SELUDUP

30/10/2024 01:10 PM

BUTTERWORTH, 30 Okt (Bernama) -- Helah sindiket penjualan rokok seludup menjadikan sebuah rumah teres sebagai lokasi menyorokkan hampir dua juta batang rokok putih dan keretek pelbagai jenama tidak bercukai di dalam sebuah bilik rahsia terbongkar apabila diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang pada 8 Okt lepas.

Pengarah Kastam negeri Rohaizad Ali berkata serbuan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang pada 1 tengah hari itu berjaya merampas kesemua rokok yang bernilai RM581,254 dan melibatkan cukai berjumlah RM1.37 juta.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, kami menjalankan pemantauan selama seminggu terhadap rumah teres dua tingkat terbabit di Permatang Pauh, dekat sini kerana difahamkan terdapat kegiatan penjualan rokok seludup di situ.

"Sebelum serbuan, kami membuat pemantauan selama dua jam di rumah itu dan mendapati tiada sesiapa sebelum menyerbu kediaman itu, pemeriksaan awal pasukan kastam tidak menemukan sebarang barangan, malah premis itu juga seperti tiada penghuni," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut pasukan operasi bagaimanapun, telah menjumpai sebuah bilik rahsia yang ditutup dengan sebuah almari yang direka khas bagi tujuan menyembunyikan rokok seludup.

Rohaizad berkata pemeriksaan di dalam bilik itu menemukan 1.54 juta batang rokok putih dipercayai dibawa dari negara jiran dan 450,120 batang rokok keretek pelbagai jenama disyaki dibawa masuk dari Indonesia.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan oleh pihak kastam di rumah itu, seorang lelaki warga emas berumur 70 tahun telah datang ke premis terbabit dan mendakwa telah menyewakan kediaman itu kepada seorang lelaki warga asing sejak dua tahun lepas.

"Pasukan kastam berjaya membongkar bilik khas itu selepas menjalankan pemeriksaan selama dua jam kerana dari luaran keluasan bilik itu besar, namun di dalam ia kecil sahaja dan pemeriksaan teliti terhadap almari membawa kepada penemuan bilik khas itu.

"Pihak kastam telah merekodkan keterangan pemilik rumah itu dan sedang mengesan penyewa kediaman terbabit, kami percaya premis berkenaan dijadikan stor menyimpan rokok-rokok seludup itu sebelum dijual untuk pasaran di sekitar negeri ini," katanya.

Beliau berkata kesemua rokok putih dan keretek yang dirampas dalam serbuan itu bernilai hampir RM2 juta termasuk cukai serta siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan rangkaian penyeludupan rokok.

Kes katanya, disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1) (e) Akta Eksais 1976.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan