WANITA RUGI LEBIH RM260,000 ANGKARA 'LOVE SCAM'

31/10/2024 04:14 PM

KUANTAN, 31 Okt (Bernama) -- Seorang wanita berputih mata selepas terjerat sindiket 'Love Scam' menyebabkan kerugian lebih RM260,000, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.

Beliau berkata mangsa berusia 32 tahun itu berkenalan dengan lelaki dari luar negara yang mendakwa sebagai ahli perniagaan menerusi media sosial sebelum suspek meminta modal kononnya untuk menampung perniagaan yang mengalami masalah kewangan. 

"Mangsa yang terpedaya telah membuat 14 kali transaksi kepada empat akaun berbeza bermula 14 Okt hingga Ahad lepas sebelum suspek mendiamkan diri dan wanita itu akhirnya menyedari dirinya telah ditipu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita itu telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Dalam kes berasingan, Yahaya memaklumkan pihaknya menerima tiga laporan polis melibatkan kes tawaran tender tidak wujud menerusi panggilan telefon melibatkan jumlah kerugian lebih RM300,000.

Beliau berkata mangsa melibatkan dua peniaga kedai tayar masing-masing berusia 29 tahun, ditawarkan tender pembekalan tayar, alat ganti dan aksesori kenderaan setelah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). 

Selain itu, seorang lagi mangsa iaitu kontraktor bangunan berumur 55 tahun menerima tawaran tender membekalkan ecoflow power station daripada individu kononnya pegawai dari Majlis Perbandaran Bentong.

Kesemua mangsa telah membuat beberapa transaksi seperti diminta suspek berjumlah lebih RM300,000, dengan masing-masing berasa terpedaya selepas membuat semakan di JBPM dan Majlis Perbandaran Bentong serta mendapati tiada tender seumpama itu wujud. 

Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan