POLIS TUMPASKAN SINDIKET EDAR GANJA, TAHAN TIGA TERMASUK SEORANG WANITA

02/11/2024 07:33 PM

GEORGE TOWN, 2 Nov (Bernama) --Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran ganja selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita serta merampas hampir 26 kilogram (kg) dadah bernilai RM79,680 dalam serbuan di Gelugor di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 49 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di kawasan parkir kenderaan dalam serbuan yang dijalankan antara pukul 4.45 petang hingga 12 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah kotak berlabel tulisan Thailand yang mengandungi 20 ketulan dadah dibalut dengan kertas berwarna merah, disyaki ganja, dengan anggaran berat 20,696 gram (20.696 kg).

Turut dirampas ialah sebuah beg kain berwarna hitam yang mengandungi lima ketulan dadah, juga dibalut dengan kertas berwarna merah, disyaki ganja, dengan anggaran berat 5,225 gram (5.225 kg),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hamzah risikan mendapati sindiket itu aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak pertengahan tahun ini dan dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan oleh 60,000 orang.

Katanya hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah namun semakan rekod mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat depan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan