79 SENJATA TAJAM DIRAMPAS DI RUMAH TABIB ADAM

02/11/2024 08:11 PM

ALOR GAJAH, 2 Nov (Bernama) -- Sebanyak 79 senjata tajam seperti keris, parang, pedang dan tombak yang dikategorikan sebagai senjata berjadual, dirampas daripada sebuah stor di pusat perubatan Tabib Adam yang diwartakan sesat di Masjid Tanah, pada 24 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata dalam serbuan kira-kira 2 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai anak kandung kepada pengasas perubatan itu.

Bagaimanapun, Ashari berkata Tabib Adam tidak berada di rumah ketika serbuan dilakukan.

"Suspek mendakwa senjata-senjata tajam berkenaan merupakan milik bekas pesakit yang pernah datang membuat rawatan di situ yang turut didakwa mereka mempunyai ‘penunggu’ dan tugas pusat rawatan berkenaan adalah untuk ‘membersihkan’ senjata berkenaan. 

"Bagaimanapun pesakit tidak mengambil semula senjata-senjata tersebut selepas proses ‘pembersihan’ dilakukan, dan disimpan di rumah itu selain suspek turut mendakwa sebahagian senjata berkenaan digunakan sebagai ʼpengerasʼ yang diberikan pesakit kepada ayahnya untuk mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ashari berkata kes disiasat di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan dan Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 manakala suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

Sebelum ini, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan bahawa amalan dan aktiviti perubatan Pusat Perubatan Islam Jarak Jauh Sunan Kalijaga atau Pusat Terapi atau apa-apa nama amalan dan aktiviti perubatan Iain dikaitkan dengan Adam Isa dan pengikutnya didapati menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar kerana mengandungi unsur yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah dan syariah. 

Amalan dan aktiviti perubatan itu juga bercanggah dengan Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan