BICARA KES PEGAWAI POLIS DIDAKWA BUNUH PELAJAR 17 TAHUN DITANGGUH ESOK

04/11/2024 02:16 PM

IPOH, 4 Nov (Bernama) -- Perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar tingkatan lima dengan melanggar motosikal yang ditunggang pelajar itu, ditangguh esok berikutan pertukaran pasukan pembelaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan penangguhan kerana pertukaran tersebut hanya dimaklumkan pada hari pertama perbicaraan hari ini.

Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat DSP,  didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, sekitar 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pasukan peguam baharu diketuai M. Athimulan, dan turut mewakili Mohd Nazri ialah Datuk Meor Faridalatrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzaman. Sebelum ini pegawai kanan polis itu diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan M. Kuhan. 

Terdahulu Athimulan memohon perbicaraan ditangguh esok kerana pihaknya perlu menyemak keterangan 30 saksi kes berkenaan manakala pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR)  Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan itu.

Pendakwaan turut dikendalikan TPR Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui. Turut hadir peguam pemerhati keluarga mangsa Datuk Wan Azmir Wan Majid. 

Pada 5 Sept tahun lepas, Hakim Bhupindar Singh menolak permohonan jaminan yang difailkan Mohd Nazri agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan kesnya, atas sebab terdapat alasan munasabah berdasarkan naratif kes untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah juga mendapati tiada keadaan khas dan istimewa untuk jaminan diberikan kepada tertuduh.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan