DUA BERADIK WARGA INDIA BEBAS PERTUDUHAN BUNUH SUAMI ISTERI

04/11/2024 05:57 PM

PUTRAJAYA, 4 Nov (Bernama) -- Dua beradik warga India terlepas tali gantung apabila Mahkamah Rayuan membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh sepasang suami isteri yang mayat mereka disumbat dalam beg pakaian sebelum dibuang ke longkang di lokasi berasingan di Shah Alam, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim secara sebulat suara melepas serta membebaskan Sagar Sharma, 29, dan Shubham Sharma, 24, selepas memutuskan terdapat merit dalam rayuan mereka.

Ahmad Zaidi berkata mahkamah mendapati hakim Mahkamah Tinggi tersalah arah apabila menerima masuk keterangan saksi-saksi pendakwaan mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950 dan tiada bukti yang mengaitkan kedua-dua perayu dalam kesalahan jenayah itu.

"Mahkamah juga mendapati sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi tidak selamat untuk dikekalkan.

"Oleh itu, rayuan perayu dibenarkan dan mereka dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan," katanya yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Kedua-dua beradik menangis selepas mendengar keputusan itu.

Kedua-dua lelaki, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Nov 2022 menjatuhi hukuman mati ke atas mereka bagi kesalahan membunuh Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe, 79, dan Tan Siew Mee, 52.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Subang Jaya antara 8 malam 23 Ogos dan 3.20 pagi 24 Ogos 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam Afifuddin Ahmad Hafifi berhujah hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila menerima masuk keterangan dua saksi pendakwaan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Beliau berkata kedua-dua saksi, yang juga pegawai polis, tidak mengemukakan sebarang catitan bagi membuktikan serta mengesahkan maklumat yang diberikan oleh kedua-dua perayu kepada mereka.

"Ini merupakan satu salah arah undang-undang yang material kerana peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan memerlukan beban pembuktian yang tinggi.

"Jika tidak, ia boleh disalahgunakan dan wujud kebarangkalian maklumat yang diberikan tidak tepat, salah atau sepertimana dimaklumkan di mahkamah.

"Kedua-dua saksi juga gagal menjelaskan perkataan sebenar yang digunakan oleh kedua-dua perayu yang membawa kepada penemuan beg mengandungi mayat mangsa dan tidak wujud sebarang keterangan ayat secara verbatim yang digunakan oleh kedua-dua perayu bagi membolehkan mahkamah menilai sama ada keterangan itu jatuh di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan," katanya.

Afifuddin juga berhujah perayu tidak faham Bahasa Melayu dan tidak ada keterangan mengenai bahasa serta ayat yang digunakan oleh kedua-dua beradik ketika memberikan maklumat kepada pihak polis sehingga membawa kepada penemuan beg berisi mayat mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang pula berhujah maklumat yang diberikan oleh kedua-dua perayu membawa kepada penemuan mayat mangsa adalah memadai untuk mengaitkan mereka dengan kesalahan bunuh.

"Terdapat laporan polis menyatakan soal siasat dijalankan terhadap tertuduh dan didapati tertuduh faham Bahasa Melayu serta dengan rela hati memberitahu di mana barang kes seperti pisau diletakkan dan kesukarelaan perayu memberi maklumat ini juga tidak dicabar oleh pembelaan semasa perbicaraan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua beradik tinggal bersama pasangan suami isteri itu dan berdasarkan keterangan saksi yang juga jiran si mati, mangsa ada menyatakan perayu adalah anak angkat mereka.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan