JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pelaksanaan e-Tanah Secara PPP Anjakan Besar Dalam Pentadbiran Tanah Negara - Nik Nazmi

06/11/2024 04:55 PM

PUTRAJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Sistem e-Tanah secara kerjasama awam-swasta (PPP) merupakan anjakan yang besar dalam pentadbiran dan pengurusan tanah negara, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Beliau berkata pelaksanaan sistem tersebut dapat mengatasi keluhan rakyat yang selama ini menganggap urusan berkaitan tanah rumit, memakan masa yang panjang, dan tidak telus.

"Sistem e-Tanah secara PPP merupakan bukti komitmen berterusan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam menyediakan perkhidmatan urusan pentadbiran tanah yang lebih pantas, cekap, dan telus di seluruh negeri," katanya.

"Sistem ini dilihat sebagai satu usaha pragmatik yang sejajar dengan perkembangan pesat serta cabaran era digital, yang memerlukan kita melaksanakan sistem yang lebih komprehensif dan mesra pengguna," katanya.

Nik Nazmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Pelaksanaan Sistem e-Tanah Secara PPP Bagi Negeri Melaka di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, perjanjian konsesi selama 14 tahun bagi pelaksanaan projek dan pembangunan Sistem e-Tanah secara PPP di Melaka telah ditandatangani oleh NRES, Kerajaan Negeri Melaka, dan syarikat konsesi Puncak Tegap Sdn Bhd.

Pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Nik Nazmi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan Pengerusi Eksekutif syarikat konsesi Syed Azmin Syed Nor.

Mengulas mengenai projek itu, Nik Nazmi berkata ia merangkumi pembangunan sistem bagi sembilan modul pentadbiran tanah iaitu pendaftaran, hasil, strata, pelupusan, pembangunan, penguatkuasaan, pengambilan, dan persetujuan yang akan digunakan di semua Pejabat Tanah dan Galian Negeri serta Pejabat Tanah Daerah di negeri tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa projek ini melibatkan pembangunan aplikasi mudah alih untuk memudahkan akses pengguna kepada sistem tersebut.

"Pengguna kini dapat membuat transaksi seperti semakan dan bayaran cukai di mana-mana sahaja melalui peranti mudah alih. Ia seterusnya akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pentadbiran tanah di Melaka," katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata penyediaan sistem pentadbiran tanah yang cekap adalah penting kerana kutipan hasil tanah menyumbang kepada 60 hingga 70 peratus hasil keseluruhan kerajaan Melaka.

"Keseluruhan hasil negeri pada tahun 2023 telah merekodkan sebanyak RM479.6 juta, di mana RM310.6 juta adalah hasil tanah yang direkodkan dari negeri Melaka.

"Justeru, besar harapan saya dengan adanya sistem yang stabil dan terkini, kerajaan negeri mampu meningkatkan lagi unjuran hasil bagi persediaan Belanjawan pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan