JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

124 Hospital Termasuk 51 Hospital Kerajaan Berjaya Peroleh Akreditasi MSQH

08/11/2024 05:29 PM

MELAKA, 8 Nov (Bernama) -- Sebanyak 124 hospital termasuk 51 hospital kerajaan di seluruh negara berjaya diakreditasi dan memenuhi piawaian penilaian ditetapkan oleh Malaysia Society For Quality in Health (MSQH) hingga 31 Okt tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MSQH Datuk Dr Heric Corray berkata daripada jumlah itu, separuh daripada hospital terbabit menerima status pensijilan penuh akreditasi MSQH yang disampaikan pihaknya manakala sebahagian lagi dalam proses menunggu kerana melibatkan beberapa proses yang mengambil masa antara tiga hingga lima bulan setelah dinilai.

Beliau berkata dua aspek utama yang menjadi penilaian penting untuk mendapatkan akreditasi berkenaan ialah kualiti perkhidmatan kesihatan dan keselamatan pesakit.

"Kerajaan amat menggalakkan dan mempromosikan pensijilan MSQH ini di semua hospital kerajaan sedia ada dan kerajaan juga telah memberikan kontrak  kepada MSQH dalam tempoh empat hingga lima tahun untuk semua hospital berkenaan mendapatkan pensijilan itu.

"Bukan sukar untuk mendapatkan pensijilan MSQH ini … bagi hospital yang kali pertama memohon mendapatkan akreditasi itu, MSQH akan memberikan latihan dan biasanya selepas 12 bulan baharu hospital terbabit akan mendapat pensijilan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH kepada Putra Specialist Hospital Melaka yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Heric berkata tempoh sah laku pensijilan berkenaan selama empat tahun namun pemantauan dan penilaian mengejut akan dilakukan pihak MSQH sepanjang tempoh itu bagi memastikan hospital yang telah menerima akreditasi berkenaan terus mematuhi aspek atau kriteria ditetapkan dan sekiranya gagal ia boleh ditarik balik.

Beliau berkata menerusi penganugerahan sijil akreditasi ini, kepercayaan atau keyakinan pesakit dan pelanggan bahawa hospital terlibat akan menyediakan perkhidmatan yang memenuhi piawaian nasional atau antarabangsa. 

"MSQH diiktiraf oleh International Society for Quality in Health (ISQua) sejak 2008 dan baru-baru ini MSQH telah dinilai oleh ISQua sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan piawaian akreditasi MSQH selari dengan penanda aras antarabangsa.

"Proses penilaian ISQua ini sangat penting dalam memperkukuh kredibiliti dan ketelusan dalam amalan kami selain membuktikan bahawa MSQH diiktiraf bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat global," katanya.

Untuk rekod, MSQH ialah satu-satunya badan akreditasi kesihatan negara sejak 25 tahun lepas dan terus berkembang.

MSQH kini telah mengeluarkan Standard Akreditasi Hospital Edisi Keenam selain edisi untuk Rawatan Dialisis Kronik, Klinik Pergigian dan Klinik Perubatan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan