KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah sebagai hukuman alternatif akan membantu mengurangkan kadar kesesakan di penjara dan kadar pemenjaraan yang tinggi pada masa ini serta menjimatkan kos kepada kerajaan.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara Malaysia menyokong penuh cadangan mewujudkan hukuman alternatif itu sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas.
“Fasiliti penjara telah mengalami kadar pertambahan prospek melebihi kapasiti sebenar iaitu sebanyak 74,146 berbanding jumlah kapasiti keseluruhan terkini (5 Nov) 87,419 orang (melebihi 11.24 peratus) dengan jumlah prospek di dalam penjara 82,482 orang (94.35 peratus) dan dalam komuniti 4,937 orang (5.65 peratus).
“Kadar pemenjaraan pada masa kini adalah 245/100,000 penduduk berbanding kadar purata pemenjaraan dunia 145/100,000 penduduk. Kadar yang tinggi ini tidak baik untuk imej negara dari segi keselamatan dan kesejahteraan awam daripada kaca mata dunia,” menurut kenyataan jabatan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu setakat ini terdapat 43 institusi penjara di seluruh negara dengan 19 mengalami kapasiti melebihi 20 peratus terutamanya penjara di bandar besar.
“Melalui peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 43, 46 dan 47 Akta Penjara 1995 memberi ruang kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk memperkenalkan hukuman alternatif melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan menggunakan Program “Corporate Smart Internship” (CSI) seperti Program CSI Parol.
“Selain itu, CSI Program Banduan Secara Lesen (PBSL), CSI Program Bebas Lesen (PBL) dan Program Reintegrasi Penghuni Industri kepada prospek yang layak diberi PDK,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, jabatan itu turut memaklumkan kadar “residivis” (jenayah berulang) adalah rendah di bawah program PDK iaitu 0.24 peratus berbanding 17.6 peratus bagi mereka yang hanya menjalani pemulihan dalam fasiliti atau dalam penjara.
Sehubungan itu, Jabatan Penjara memaklumkan keperluan untuk mewujudkan Akta Tahanan Rumah merupakan hukuman alternatif yang membolehkan prospek menjalani hukuman di rumah dengan peraturan mengikut masa yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu lagi hukuman alternatif baharu seperti PDK dapat memberi peluang kedua kepada prospek untuk membuktikan bahawa mereka masih boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan memberikan perincian mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan tahanan di rumah semasa sesi penggulungan di peringkat dasar kementeriannya di Dewan Rakyat esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial