KANGAR, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis buat julung kalinya menganjurkan Program Podcast Pemuafakatan Perlis: Pencegahan Jenayah Melalui Pendidikan dan Kesedaran Keselamatan untuk meningkatkan kesedaran pelajar mengenai isu keselamatan dan jenayah yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata program yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ini bertujuan membantu pelajar memahami impak tingkah laku jenayah dengan pendekatan yang lebih dekat, serta mendidik mereka untuk menjadi lebih cakna dan bertanggungjawab dalam menjauhi perbuatan jenayah.
"Program podcast ini merupakan satu daripada usaha JPN Perlis untuk mengukuhkan pemahaman pelajar tentang kepentingan keselamatan dengan pendekatan yang lebih mudah diakses. Kami turut mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu buli dan menggunakan platform podcast ini untuk menyebarluaskan kesedaran tentang peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS)," katanya.
Rose Aza berkata demikian selepas menjadi panel dalam program podcast tersebut di sini hari ini, bersama Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Wira Ayub Yaakob.
Program podcast ini boleh diulang tonton melalui platform YouTube oleh Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis.
Sementara itu, Muhammad berkata setakat ini kes buli melibatkan pelajar sekolah di Perlis merekodkan kurang daripada 10 kes bagi tahun ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pihak polis di setiap sekolah boleh dihubungi terus oleh pihak sekolah. PPS berperanan memberikan khidmat nasihat serta langkah pencegahan awal dalam menangani isu jenayah
“PDRM juga mengambil langkah lanjut dengan melantik PPS di setiap sekolah untuk bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memantau serta menyalurkan maklumat awal berkaitan kes-kes yang melibatkan pelajar sebelum laporan rasmi dibuat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial