JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Selangor Sedia Geran Khas Tarik Pengusaha Taska Tidak Berdaftar Daftar Operasi

07/11/2024 06:19 PM

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memperkenalkan geran khas untuk pengusaha taska tidak berdaftar di negeri itu bagi mendaftarkan perkhidmatan dan operasi secara dalam talian bermula Disember depan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata menerusi geran khas itu, pengendali taska akan mendapat peruntukan maksima RM5,000 daripada peruntukkan keseluruhan RM400,000 yang disediakan. 

“Setakat Julai lepas, jawatankuasa pemutihan untuk taska tidak berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mengenal pasti terdapat 128 taska tidak berdaftar beroperasi di Selangor.

“Jumlah itu semakin menurun berbanding 407 pada tahun lepas dan 600 taska pada 2022 hasil program pemutihan yang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Program Advokasi Perkhidmatan Taska peringkat Negeri Selangor 2024 di sini hari ini.

Terdahulu, Anfaal dalam ucapannya pada majlis itu berkata banyak manfaat yang akan diperoleh oleh pengendali atau pengusaha taska yang berdaftar, antaranya pengecualian cukai serta insentif-insentif khas dari kerajaan.  

“Begitu juga jika terdapat syarikat korporat yang berminat untuk membuat program tanggungjawab sosial korporat dan turun padang, pastinya taska berdaftar yang akan menjadi pilihan mereka,” katanya.

Anfaal berkata setakat ini terdapat kira-kira 3,000 taska berdaftar dengan JKM di seluruh negara dengan 1,004 daripadanya adalah di Selangor.

Beliau berkata daripada jumlah itu, lima kawasan di negeri berkenaan merekodkan jumlah bilangan taska tertinggi iaitu Petaling, Hulu Langat, Subang Jaya, Shah Alam dan Gombak.  

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan