JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Institusi Awam Dan Swasta Perlu Bekerjasama Perkasa Sektor Kesihatan Negara - Dr Dzulkefly

08/11/2024 01:15 AM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Institusi awam dan swasta harus sama-sama berperanan memperkasakan sektor perkhidmatan kesihatan di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pergantungan kepada fasiliti kesihatan disediakan oleh kerajaan semata-mata akan menyebabkan institusi itu terbeban dengan permintaan orang ramai yang inginkan rawatan.

“Saya mahu institusi awam dan swasta dapat sama-sama memainkan peranan. Kalau kita hanya bergantung kepada fasiliti kerajaan sahaja untuk mendapatkan rawatan maka ia akan tambah terbeban dan sesak.

“Jadi, saya juga mahukan pihak swasta membangunkan fasiliti mereka dengan sesuatu yang bersifat baik dan pada kadar yang berpatutan, maknanya mereka juga mesti memastikan bahawa tekanan inflasi dari sudut kos rawatan di pihak swasta dapat diimbangkan, jangan terlalu mahal,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika menjadi tetamu Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata inisiatif alih daya yang dilaksana oleh Kementerian Kesihatan bukan sahaja membantu dari segi mengatasi masalah kesesakan pesakit sebaliknya ia juga lebih munasabah berbanding kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk membina fasiliti baharu.

“Kita tidak boleh terus bina dan bina. Untuk mengurangkan masa menunggu bagi mendapatkan rawatan, kita izinkan pihak swasta menawarkan perkhidmatan kepada kami. Pada masa sama, mereka juga perlu pastikan harga itu sesuai dengan kami.

“Kalau anda kurangkan untung, anda akan dapat volume (bilangan pesakit). Akhirnya, keuntungan anda akan juga tinggi. Kalau kita nak bina pusat jantung, ia memakan belanja yang besar. Jadi munasabah untuk alih daya,” katanya sambil menambah tidak timbul isu kartel menerusi inisiatif itu.

Dr Dzulkefly berkata ketika ini, terdapat 91 hospital swasta yang memberikan perkhidmatan kepada kerajaan dengan harga yang dikenakan adalah mengikut ketetapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan