JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KKM Tegaskan Penggunaan Ubat Generik Selamat Dan Berkesan

08/11/2024 05:39 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan penggunaan ubat-ubatan generik adalah selamat, berkesan dan memberikan natijah terbaik berdasarkan penilaian teliti oleh pengamal perubatan yang bertauliah tentang keperluan klinikal pesakit.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam soal kualiti, keselamatan dan kesihatan pesakit semata-mata untuk mengurangkan kos rawatan, termasuk untuk ubat-ubatan.

“KKM ingin menjelaskan bahawa Dasar Ubat Nasional (DUNas) yang dibangunkan pada 2006 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia sentiasa mendapat akses kepada ubat-ubatan penting.

“Salah satu strategi utama di bawah polisi ini adalah Dasar Ubat Generik yang menggalakkan penggunaan ubat-ubatan generik dalam sektor kesihatan awam dan swasta, bertujuan memperkukuh akses kepada ubat-ubatan pada harga berpatutan dan mampu dimiliki dengan mengekalkan kualiti, keselamatan dan keberkesanannya,” kata KKM.

Kenyataan itu adalah sebagai maklum balas kepada sebuah laporan portal dalam talian pada 5 Nov lepas, yang memetik kenyataan daripada sebuah persatuan farmaseutikal (https://codeblue.galencentre.org/2024/11/switching-ijn-to-generics-wont-cut-costs-phama/) dengan dakwaan penggunaan ubat generik mampu memudaratkan pesakit.

Pada 28 Okt lepas, portal berkenaan yang memetik sumber mendakwa kerajaan telah mengarahkan Institut Jantung Negara (IJN) untuk menggantikan ubat inovator dengan ubat generik bagi pesakit awam untuk mengurangkan kos yang ditanggung KKM. 

(https://codeblue.galencentre.org/2024/10/ijn-ordered-to-switch-government-patients-to-generic-drugs/)

Ubat generik merupakan ubat yang mengandungi bahan aktif sama dengan ubat inovator dan dihasilkan setelah paten sesuatu ubat inovator tamat.

Ubat inovator merujuk kepada ubat baru yang mula diperkenalkan dalam pasaran dan dipatenkan oleh syarikat yang menaja atau menemui ubat berkenaan setelah menjalani kajian klinikal dan penyelidikan.

Semua ubat, termasuk ubat generik perlu melalui syarat dan penilaian yang sangat ketat sebelum ia didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat.

KKM berkata ubat generik biasanya lebih murah daripada ubat inovator kerana tidak memerlukan kos penyelidikan dan pembangunan peringkat awal, kos pemasaran dan kos promosi seperti ubat inovator, walaupun terdapat kos bagi pelaksanaan ujian kesetaraan-bio.

“Satu kajian berskala besar telah dijalankan di Austria yang melibatkan lebih sembilan juta orang menunjukkan bahawa penggunaan ubat-ubatan generik membantu mengurangkan kos penjagaan kesihatan tanpa menjejaskan kesihatan pesakit bagi rawatan penyakit kronik seperti hipertensi, hiperkolesterol dan diabetes.

“Kajian turut mendapati ubat-ubatan generik berfungsi dengan baik seperti ubat inovator dalam mencegah masalah jantung yang serius dan kematian,” kata KKM.

Justeru, KKM memandang serius kenyataan tidak berasas serta tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang membangkitkan kegusaran pesakit, sama ada di fasiliti KKM ataupun swasta supaya menolak sesuatu regimen rawatan atas kebimbangan mereka terhadap penggunaan ubat generik.

Dalam perkara ini, KKM tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas, termasuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab, kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan