JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Ramai Penunggang Tiada Lesen Memandu, Tidak Perbaharui Cukai Jalan - JPJ

08/11/2024 12:09 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Sebanyak 28,811 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Motosikal sejak dilaksanakan pada 1 November.  

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata setakat hari ketujuh operasi dijalankan, tiada lesen memandu dan cukai jalan menjadi kesalahan paling banyak dikesan. 

Beliau berkata sebanyak 59,116 motosikal diperiksa setakat ini dan daripada jumlah itu sejumlah 8,988 telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan 282 motosikal disita. 

"Sebanyak 23,895 saman telah dikeluarkan bagi kesalahan tiada lesen memandu dan cukai jalan sahaja. Bila kita tahan, pelbagai alasan diberikan seperti tidak sempat untuk memperbaharui cukai jalan, tidak sempat mengambil lesen dan sebagainya. 

"Saya nasihatkan semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal untuk memperbaharui  cukai jalan dan insurans. Sekiranya berlaku apa-apa, ia akan mendatangkan kesusahan bukan sahaja kepada penunggang tetapi juga pengguna jalan raya yang lain," katanya. 

Aedy Fadly berkata pihaknya akan bertindak menyita mana-mana motosikal sekiranya didapati tiada insurans, cukai jalan serta membuat modifikasi dan pengubahsuaian yang ekstrem. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program MyLesen 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Pusat Komuniti Setiawangsa di sini hari ini. 

Pada majlis berkenaan, seramai 1,824 menerima manfaat MyLesen B40 terdiri Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (1,790), Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing (14) dan PSV Bas (20).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan