JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Cybersecurity Rekod 5,181 Insiden Keselamatan Siber Setakat Oktober

12/11/2024 08:56 PM

IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Sebanyak 5,181 insiden keselamatan siber direkodkan oleh pusat tindak balas insiden keselamatan siber (Cyber999) CyberSecurity Malaysia dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia Wan Roshaimi Wan Abdullah berkata terdapat tiga insiden tertinggi direkodkan, iaitu penipuan dalam talian sebanyak 3,483 kes, berkaitan kandungan (480 kes) dan kod jahat (403 kes), manakala selebihnya kes lain-lain. 

Beliau berkata walaupun terdapat peningkatan atau penurunan pada setiap bulan, namun secara puratanya agensi itu menerima purata 500 kes sebulan.

“Kes penipuan adalah kes tertinggi, yang kes belian dalam talian termasuk love scam atau penipuan cinta antara yang banyak kita terima dalam laporan.

“Kesemua kes yang kita terima berdasarkan kes yang berlaku ke atas pengguna dalam talian dan ancaman ini memberi impak yang besar kepada negara dari aspek kerugian kewangan yang mencecah angka jutaan ringgit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, merasmikan Majlis Perasmian Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata statistik di Perak yang dikeluarkan oleh pihak polis pula menunjukkan sebanyak 6,619 kes jenayah komersial direkodkan dari Januari hingga Julai 2024, dengan kerugian melebihi RM68.5 juta. 

“Penipuan dalam talian tetap menjadi isu utama. Dalam tempoh sama, sebanyak 1,407 kes penipuan dalam talian telah dilaporkan di Perak, melibatkan kerugian lebih RM55.3 juta. 

“Sebab itulah kita akan terus-menerus memberi kesedaran seperti program hari ini yang menyasarkan semua pengguna Internet terdiri daripada golongan remaja, belia, ibu bapa, kakitangan awam dan swasta, warga emas serta orang kurang upaya,” katanya.

Beliau berkata jenayah love scam khususnya memberi kesan besar kepada mangsa wanita, terutama mereka yang berusia 41 hingga 50 tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan