JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Individu Perkenal Konsep "Belajar Dulu Bayar Kemudian" Terima Anugerah Tokoh Mahir 2024

14/11/2024 10:35 AM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Presiden Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes menerima Anugerah Tokoh Mahir 2024 atas usahanya memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk memperkenalkan konsep "Belajar Sekarang, Bayar Kemudian" kepada pelajar.

Beliau menerima anugerah berkenaan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir 2024 di Putrajaya semalam.

Sri Ganes dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata beliau bersyukur atas penghargaan ini yang mengiktiraf komitmennya sejak 1999 untuk melahirkan tenaga kerja berkepakaran tinggi bagi memenuhi keperluan industri.

"TVET membuka peluang kepada pekerjaan berpendapatan tinggi sekali gus merapatkan jurang antara kemahiran dengan kehendak industri,” katanya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.

Sebagai pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group, beliau telah menerajui pelbagai inovasi pendidikan termasuk konsep "Belajar Sekarang, Bayar Kemudian" yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengakses latihan kemahiran tanpa perlu membayar wang pendahuluan.

Langkah itu bertujuan membuka pintu kepada lebih ramai individu untuk mengejar impian tanpa kekangan kewangan.

Institusi latihan beliau kini menawarkan pelbagai program relevan termasuk bidang teknologi baharu seperti kenderaan elektrik dan kecerdasan buatan yang bertujuan membekalkan tenaga mahir sejajar dengan keperluan semasa industri.

Dalam pada itu, Sri Ganes menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk memantapkan TVET.

"Sokongan berterusan daripada kerajaan dan sektor industri ialah kunci kepada kejayaan program TVET yang fleksibel dan berkesan. Peluang latihan praktikal, pendedahan teknologi terkini serta akses global perlu ditingkatkan bagi memastikan graduan kita bersedia menghadapi cabaran," katanya.

Menyedari keperluan untuk sentiasa relevan dalam dunia teknologi yang pesat berubah, Sri Ganes menjadi pelopor dengan memperkenalkan program kemahiran dron pertama di Malaysia pada 2016.

Program ini diakreditasi oleh Jabatan Kemahiran pada 2019, menjadikan SG Education Group institusi pertama di negara ini yang menawarkan latihan dron bertaraf nasional.

Sri Ganes yang juga Timbalan Presiden Persatuan IoT Malaysia turut menyeru masyarakat untuk melihat TVET sebagai laluan kerjaya yang berpotensi besar.

-- BENAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan