JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KPN Ucap Takziah Kepada Keluarga Anggota FRU Terlibat Kemalangan Maut

13/05/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.

Beliau yang mewakili seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menzahirkan rasa sedih dan simpati di atas insiden yang menimpa kesemua anggota yang terlibat.

“Jasa dan pengorbanan mereka amat dihargai, kemalangan berlaku selepas mereka selesai melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan. PDRM akan memastikan kebajikan keluarga anggota yang terkorban diberi perhatian sebaiknya,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin hari ini berkata angka kematian dalam kemalangan membabitkan lori pasukan FRU dengan lori muatan batu, meningkat kepada sembilan orang.  

Kesemua yang maut adalah anggota FRU dari Unit 5 Ipoh dan mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. 

Sementara itu Razarudin berkata polis Perak telah diarah melakukan siasatan terperinci secara adil berhubung kemalangan berkenaan.

“Saya sudah hubungi Ketua Polis Perak supaya siasatan terperinci dilakukan. Kami jamin semua anggota yang terkesan dengan insiden ini akan diberi bantuan sebaiknya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan