JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Ahmad Zahid Ucap Takziah Kepada Keluarga Anggota FRU Yang Maut

13/05/2025 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata pemergian sembilan anggota FRU itu turut dirasai negara dan mendoakan agar ahli keluarga dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi dugaan.

“Pengorbanan mereka tidak akan dilupakan. Ia akan terus terpahat dalam ingatan kita sebagai lambang keberanian dan kesetiaan kepada negara.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti mereka, mengampunkan segala dosa dan menempatkan roh mereka dalam kalangan orang-orang beriman serta beroleh ganjaran syurga-Nya,” kata beliau.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata beliau juga telah mendengar laporan daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan berkaitan tragedi tersebut.

“Mereka adalah wira negara yang sedang menjalankan tugas, menggalas amanah demi keselamatan dan keamanan tanah air,” katanya.

Nahas pada 8.50 pagi itu itu menyaksikan sembilan anggota FRU maut manakala dua lagi cedera parah selepas trak yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan