KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya akan memastikan setiap jalan raya serta lebuh raya baharu selepas ini direka bentuk dan dibina dengan terowong hidupan liar bagi mewujudkan laluan selamat untuk haiwan berkenaan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi kenyataan mengambil contoh pembinaan terowong berkenaan oleh Lebuhraya Persisiran Barat (WCE) di jajaran Taiping Selatan-Bruas setelah mendapat khidmat nasihat dan persetujuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Syabas dan terima kasih kepada syarikat konsesi WCE yang melestarikan laluan khusus terowong bawah lebuh raya untuk membolehkan habitat hidupan liar bergerak dari satu kawasan hutan ke hutan lain, melintasi lebuh raya dengan selamat," menurut kenyataan itu.
Selain itu, KKR memaklumkan kerjasama erat antara kementerian dengan Jabatan Perhilitan akan diteruskan bagi memastikan pemeliharaan hidupan liar sentiasa dipertingkatkan.
“Besar harapan kami supaya pemandu kenderaan memperlahankan kelajuan dan berhati-hati ketika melewati lokasi pintasan hidupan liar yang telah dikenal pasti melalui papan tanda dan lampu jalan,” menurut KKR.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial