JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Nahas FRU: Kerajaan Perak Salur Bantuan Awal Untuk Proses Pengebumian

13/05/2025 07:11 PM

TELUK INTAN, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Perak akan menyalurkan sumbangan awal kepada ahli keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sumbangan awal itu bagi proses pengurusan jenazah dan pengebumian mangsa terlibat.

"Insya-Allah dalam mesyuarat Exco akan datang mungkin Menteri Besar akan berbincang kaedah dan bantuan lain boleh diberikan bagi membantu waris serta mangsa terlibat, sebagai tanda keprihatinan kita,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan hari ini. 

Terdahulu Khairudin menyantuni ahli keluarga anggota FRU yang maut dalam kemalangan itu, bagi menyampaikan ucapan takziah bagi pihak Menteri Besar dan kerajaan negeri. 

"Diharapkan waris serta keluarga tabah menghadapi dugaan cukup berat ini dan semoga mangsa terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman manakala mereka yang cedera terus tabah dan kembali sembuh,” katanya. 

Pagi tadi Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas pada 8.50 pagi apabila trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami di sini.  

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan