JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Nahas FRU: Lapan Masih Dirawat, Seorang Dibenarkan Keluar Hospital - Exco Perak

14/05/2025 03:09 PM

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat kemalangan membabitkan kenderaan pasukan semalam, masih dirawat di dua hospital di Perak, manakala seorang telah dibenarkan pulang ke rumah. 

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A Sivanesan berkata daripada jumlah itu, lima masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU). 

“Untuk mangsa di Hospital Teluk Intan, empat berada di ICU manakala tiga lagi ditempatkan di wad biasa. Seorang mangsa yang dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, turut ditempatkan di ICU. Kita mendoakan agar semua mangsa dapat sembuh seperti sediakala,” katanya.

Sivanesan berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada Sarjan S. Perumal, 44, yang meninggal dunia akibat kemalangan itu, di rumah mendiang di Bandar Baru Lahat Mines di sini hari ini.

Mendiang dijangka disemadikan di Krematorium Buntong di sini, petang ini. 

Perumal adalah seorang daripada sembilan anggota FRU dari Unit 5 di Sungai Senam di sini, yang maut selepas lori pasukan dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampan, Teluk Intan pada 8.50 pagi semasa mereka dalam perjalanan pulang ke pangkalan selepas tamat tugas. 

 -- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan