PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Jenayah Indeks Malaysia pada 2024 meningkat 11.1 peratus dengan 58,255 kes dilaporkan berbanding 52,444 kes tahun sebelumnya, didorong dengan jenayah harta benda dan kekerasan, menurut Statistik Jenayah Malaysia 2025 diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jenayah harta benda melonjak sebanyak 12.4 peratus kepada 47,188 kes manakala jenayah kekerasan mencatatkan peningkatan 5.9 peratus dengan jumlah keseluruhan 11,067 kes.
“Walaupun terdapat peningkatan keseluruhan, kes bunuh menunjukkan penurunan yang ketara, dengan kes bunuh dengan niat menurun 9.5 peratus kepada 237 kes manakala kes bunuh tanpa niat kekal dua kes. Kes penculikan juga menunjukkan sedikit penurunan kepada 17 kes dengan 11 daripadanya melibatkan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.
DOSM memaklumkan jenayah seksual menunjukkan corak tidak konsisten dengan kes rogol meningkat 12.1 peratus kepada 1,899 kes, namun kes tanpa kekerasan meningkat 29.3 peratus manakala kes rogol dengan paksaan menurun 15.3 peratus mencerminkan perubahan corak pelaporan atau pelakuan.
Kes samun juga menurun 6.8 peratus melibatkan jumlah keseluruhan 4,276 kes, dengan majoriti melibatkan samun terhadap individu (41.7 peratus) diikuti jenis lain-lain (38.2 peratus), samun terhadap premis atau institusi (13.5 peratus) dan samun kenderaan (6.7 peratus).
Sementara itu, kes pecah rumah dan curi juga menurun 1.8 peratus dengan 77.6 peratus daripadanya berlaku pada waktu malam.
DOSM memaklumkan kes berkaitan bekalan dan memiliki dadah terus meningkat dengan kenaikan 10.6 peratus menjadikan jumlah keseluruhan 81,090 kes.
“Kes bekalan dadah meningkat sebanyak 4.6 peratus manakala kes pemilikan melonjak 12.7 peratus, mencerminkan penguatkuasaan yang lebih intensif dan kemungkinan peningkatan penggunaan bahan terlarang,” menurut kenyataan itu.
DOSM memaklumkan tangkapan bagi kes suapan meningkat 24.6 peratus, dengan 764 individu ditangkap, selain kes memberi meningkat dengan ketara sebanyak 51.2 peratus manakala kes menerima meningkat 20.3 peratus.
Selain itu, DOSM memaklumkan jenayah ekonomi semakin meningkat dengan 2,243 kes penyelewengan barang kawalan direkodkan, meningkat 19.1 peratus daripada tahun sebelumnya.
Diesel merupakan barang paling banyak diseleweng (30 peratus) diikuti petrol (26.7 peratus), minyak masak (19.8 peratus), gula (10.1 peratus), gas petroleum cecair (9.1peratus) dan tepung gandum (4.4 peratus).
DOSM memaklumkan kesalahan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 71.1 peratus kepada 296 kes dengan sektor pembuatan menyumbang lebih separuh daripada jumlah itu (57.4 peratus) diikuti sektor pembinaan (27.4 peratus) dan perkhidmatan perniagaan (8.1 peratus)
Kes berkaitan haiwan menurun kepada 12 kes termasuk kekejaman terhadap haiwan dan haiwan peliharaan serta pelanggaran kebajikan manakala tiada kes jenayah rompakan laut dilaporkan pada 2024 berbanding satu pada 2023.
DOSM memaklumkan statistik pemulihan menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan banduan disabitkan kesalahan meningkat 28.4 peratus kepada 128,916 individu, dengan banduan lelaki merangkumi 90.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala 9.1 peratus banduan wanita.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial