JASIN, 16 Okt (Bernama) -- Pameran aset ketenteraan dan Kenduri Rakyat antara tarikan utama Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 yang berlangsung tiga hari bermula esok, di Politeknik Merlimau di sini iaitu lokasi penutup siri penganjuran tahun ini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri Mohd Zammidi Mohd Asri berkata kelainan program kali ini melibatkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kerajaan negeri Melaka selaku penganjur bersama.
“Kerjasama ini membolehkan pelbagai aset, peralatan dan elemen ketenteraan dibawa khas untuk dipamerkan kepada orang ramai dari daerah Jasin dan kawasan sekitar termasuk Muar, Johor.
“Pelbagai perkhidmatan langsung oleh agensi Persekutuan dan negeri turut disediakan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain Jualan MADANI yang membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Zammidi berkata kemuncak PMR itu ialah Kenduri Rakyat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan selepas majlis perasmian penutup pada 19 Okt.
Beliau berkata walaupun diadakan pada skala kecil, mereka menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 25,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dan berpotensi mencecah lebih 100,000 berdasarkan trend sambutan luar biasa pada siri PMR terdahulu.
PMR 2025 edisi Melaka mengangkat tema “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara” dan menegaskan komitmen mempertahankan tanah air melalui prinsip Pertahanan Menyeluruh (Hanruh), Pertahanan Bersama dan pendekatan Whole of Government, Whole of Society.
Pemilihan Melaka sebagai lokasi penutup mengambil kira reputasinya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal dengan warisan dan budaya selain menonjol sebagai negeri progresif menerusi kekayaan inovasi, kemajuan teknologi serta penekanan terhadap kesejahteraan rakyat seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial