JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

UPSI, Honor Bangunkan Makmal Pendidikan AI Pertama Di Asia Tenggara

16/10/2025 09:07 PM

IPOH, 16 Okt (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal membina Makmal Pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) pertama di Asia Tenggara hasil kerjasama strategik dengan jenama teknologi global, Honor melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di ibu pejabat Honor di Shenzhen, China, hari ini.

UPSI dalam kenyataan memaklumkan MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff manakala Honor diwakili Presiden Honor Pasifik Selatan Li Jing.

Turut menyaksikan majlis pemeteraian itu ialah Pengerusi Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) merangkap Penasihat Khas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.

Md Amin berkata kerjasama tersebut bakal membuka ruang kepada pelbagai inisiatif bersama termasuk pengajaran dan pembelajaran digital, penyelidikan serta penerbitan bersama, pendedahan industri dan mobiliti akademik, khidmat perundingan serta penglibatan komuniti dalam bidang AI.

“Kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan tinggi negara dengan memperkenalkan pendekatan pembelajaran berasaskan AI yang pertama seumpamanya di rantau ini,” katanya dalam kenyataan itu. 

Beliau berkata UPSI berbangga menjadi universiti awam pertama di Malaysia menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi antarabangsa seperti Honor dalam membangunkan makmal yang akan ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI, Tanjong Malim.

Md Amin berkata makmal berkenaan bukan sahaja akan berfungsi sebagai pusat latihan dan penyelidikan untuk warga universiti, malah dibuka kepada komuniti luar bagi memberi peluang mereka merasai pengalaman pembelajaran berasaskan teknologi masa depan.

Sementara itu, pada majlis yang sama turut berlangsung pemeteraian MoU antara UPSI Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) yang diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Honor.

Abdul Puhat berkata MoU itu memberi tumpuan kepada usaha mempromosi, memasarkan dan menjual produk terpilih keluaran Honor kepada UPSI, universiti awam lain serta agensi kerajaan di Malaysia.

"Kerjasama ini turut merangkumi pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan strategi perkhidmatan serta penubuhan pusat drop-off atau pusat servis di kawasan universiti bagi meningkatkan nilai perkhidmatan kepada pelanggan.

“Kami percaya inisiatif ini akan menjadikan UPSI bukan sahaja sebagai peneraju pendidikan guru tetapi juga hab inovasi teknologi pendidikan di Asia Tenggara,” katanya sambil memaklumkan makmal itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan