JASIN, 18 Okt (Bernama) -- Lebih 3,000 anak pokok dan benih sayur diedarkan secara percuma kepada pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Politeknik Merlimau di sini.
Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Melaka Dayang Aszuanty Yusof berkata inisiatif itu dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti pertanian di rumah.
“Edaran ini dibuat secara percuma untuk pengunjung yang hadir namun mereka perlu mengisi kupon yang diberikan untuk menuntut satu anak pokok atau benih yang disediakan sepanjang program berlangsung.
“Untuk edaran hari ini (Sabtu), kita sediakan lebih 1,300 anak pokok dan benih sayur termasuk kelapa pandan, jambu batu, limau bali, belimbing, jambu air, manggis, durian, mangga serta pelbagai benih sayur seperti kobis, terung, bayam merah dan bayam hijau,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada hari pertama semalam, 500 anak pokok termasuk kelapa Malayan Yellow Dwarf (MYD), belimbing dan limau bali serta 300 pek benih sayur diedarkan kepada pengunjung yang menebus kupon disediakan.
“Edaran akan diteruskan esok (Ahad) dengan jumlah lebih besar sempena acara kemuncak PMR Melaka, melibatkan kira-kira 1,800 anak pokok dan benih sayur pelbagai jenis,” katanya.
Selain edaran percuma, Dayang Aszuanty berkata Jabatan Pertanian Melaka turut menyediakan pameran teknikal serta khidmat rundingan pertanian bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat dan panduan berkaitan aktiviti penanaman.
“Pengunjung boleh mendapatkan khidmat nasihat secara percuma daripada pegawai teknikal kami, termasuk membuat pendaftaran sebagai petani di daerah masing-masing. Pameran ini juga membantu masyarakat mengenal pasti kaedah terbaik untuk memulakan pertanian berskala kecil di rumah,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pengunjung Suhaili Halim, 30-an, berkata berasa teruja kerana berpeluang menerima anak pokok secara percuma sempena program itu.
“Saya memang minat menanam buah-buahan tempatan, jadi bila nampak ada agihan anak pokok saya terus ambil peluang untuk dapatkan anak pokok limau bali ini, memang seronok,” katanya.
Suhaili berkata inisiatif seperti itu bukan sahaja menarik minat masyarakat terhadap pertanian tetapi juga mendorong mereka memanfaatkan kawasan lapang di rumah untuk bercucuk tanam.
Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang bermula semalam menampilkan pelbagai aktiviti komuniti, pameran agensi kerajaan serta inisiatif kebajikan bagi manfaat rakyat negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial