KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan “Plant Factory - UPM-MTDC” yang menghimpunkan pertanian pintar secara tertutup, penanaman menegak serta pengurusan tanaman berasaskan data di bawah satu bumbung.
Menurut kenyataan MTDC, program yang dimulakan pada Dis 2020 di bawah Program Utama MTDC-UPM itu bertujuan mempercepat hasil penyelidikan dan pasaran bagi sektor agromakanan negara.
Kemudahan itu sebahagian inisiatif MTDC bagi menggalakkan pertanian bandar dan pintar yang memberi manfaat komersial serta sosial, selain berfungsi sebagai pusat latihan, platform inovasi dan penghubung industri dalam ekosistem agromakanan negara.
Program yang bermula sejak pada 15 Jan itu, menerima pembiayaan sebanyak RM582,025, sejumlah 40 peratus hasil sumbangan MTDC dan 60 peratus lagi oleh UPM.
“Hasil pertama kemudahan itu ialah salad Green Coral yang dibekalkan kepada pembeli tempatan pada harga RM6 sekilogram (kg), menjana hasil kira-kira 100 kg seminggu. Tanaman lain seperti Red Coral, Red Oak, Crispy Leaf/Ezfrill, Curly Kale, Bayam Muda dan microgreens juga sedang diusahakan, dengan anggaran harga runcit antara RM12 hingga RM20 sekilogram,” menurut kenyataan itu.
“Hasil awal itu menunjukkan arah tuju yang jelas penanaman dalam persekitaran terkawal sehingga pasaran, selain menyediakan platform untuk pembangunan produk nilai tambah seperti makanan sedia dimakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC Mohammad Hazani Hassan berkata kemudahan itu direka bentuk bagi membolehkan hasil diukur, termasuk tanaman untuk tujuan pasaran, pembeli yang mempunyai kontrak dan tenaga kerja berkemahiran industri.
“Dengan menggabungkan pembiayaan MTDC bersama inkubasi berstruktur dan khidmat rundingan secara praktikal, program ini mengurangkan risiko kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mempercepat pembangunan pertanian pintar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Sementara itu, Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kemudahan berkenaan mengukuhkan lagi peranan UPM sebagai penghubung antara penyelidikan dan industri.
“Pelajar, penyelidik dan rakan usaha sama boleh bersama-sama membangunkan kaedah penanaman berdaya tahan terhadap perubahan iklim, manakala usahawan pula berpeluang menguji dan menyesuaikan produk mengikut piawaian pasaran serta mengembangkan perniagaan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata sebagai satu daripada universiti penyelidikan di negara ini, UPM menyediakan kepakaran agroteknologi dan pembangunan bakat untuk menterjemahkan penyelidikan kepada operasi bertaraf industri serta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Kemudahan itu turut membantu PKS dan syarikat pemula niaga dengan menilai keberkesanan tanaman, menepati penanda aras industri, mendapatkan pembeli serta menyediakan latihan praktikal kepada petani dan koperasi.
Fungsi kemudahan itu selaras dengan Dasar Agro-Makanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0), selain menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di bawah Pelan Hala Tuju SDG Malaysia (Fasa II).
Pelancaran kemudahan itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial