JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Deepavali Disambut Meriah Masyarakat Berbilang Kaum Di Sabah

20/10/2025 12:47 PM

KOTA KINABALU, 20 Okt (Bernama) -- Kemeriahan sambutan Deepavali di Sabah tetap terasa dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama yang bersama-sama meraikan pesta cahaya itu di Kuil Sri Pasupathinath Alayam, di sini, hari ini.

Walaupun jauh daripada keluarga di Semenanjung Malaysia, pelajar dan masyarakat India di negeri ini tetap meraikan perayaan itu dalam suasana penuh meriah dan harmoni.

Terdapat kira-kira 15,000 masyarakat India di seluruh Sabah dan di pusat bandar raya ini sahaja terdapat 3,000 orang, termasuk pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tahun ini, UMS mengambil inisiatif menyediakan tiga buah bas bagi membawa kira-kira 250 hingga 300 pelajar berbangsa India ke kuil berkenaan untuk meraikan Deepavali bersama masyarakat setempat.

Pensyarah Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial UMS Profesor Madya Dr Balan Rathakrishnan berkata langkah itu diambil bagi memberi peluang kepada pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan Deepavali bersama masyarakat India yang berada di sekitar Kota Kinabalu.

“Pelajar berasa sangat gembira kerana dapat meraikan perayaan ini dengan masyarakat India di sini. Apabila datang ke kuil ini, pelajar yang jauh daripada keluarga akan berasa seolah-olah berada di rumah kerana sambutan di sini cukup meriah dengan pelbagai hidangan tradisional India,” katanya kepada Bernama.

Majlis sambutan itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta pemimpin tempatan.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi UMS, Andrita James, 22, meraikan perayaan Deepavali di Sabah memberikan pengalaman yang berbeza namun tetap bermakna, biarpun masyarakat India merupakan kaum minoriti di negeri ini.

“Ini tahun ketiga saya menyambut Deepavali di Sabah dan sudah tentu saya rindu keluarga. Namun, sebagai pelajar, saya perlu memberi tumpuan kepada pengajian,” katanya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Psikologi UMS, Janani Somaiya, 21, berkata ini merupahan tahun pertamanya menyambut Deepavali jauh daripada keluarga namun, kunjungan ke Kuil Sri Pasupathinath Alayam membuatkan dia berasa seolah-olah berada di sisi keluarga sendiri.

“Di Sabah, sambutannya agak berbeza berbanding di Semenanjung. Walaupun saya rindu keluarga, pengalaman meraikan Pesta Cahaya di sini tetap istimewa dan memberi pengalaman baharu kepada saya,” katanya.

Sementara itu, doktor gigi Dr Deviani Perumal yang juga Setiausaha Kuil Sri Pasupathinath Alayam berkata, sambutan Deepavali di kuil berkenaan sentiasa meriah kerana turut disertai masyarakat pelbagai kaum dan agama, dengan kehadiran antara 800 hingga 1,000 orang setiap tahun.

“Biasanya pada pagi Deepavali, kami akan mengadakan upacara sembahyang di rumah sebelum datang ke kuil dengan memakai pakaian baharu, itu tradisi kami.

“Di kuil ini, pelbagai hidangan makanan tradisional India seperti roti canai, tosai, vadai serta maruku disediakan untuk dinikmati semua tetamu daripada pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan