DUNIA > BERITA

THAILAND PERHEBAT PERANGI DADAH, RAMPASAN METHAMPHETAMINE BERSKALA BESAR

21/10/2025 10:24 PM

BANGKOK, 21 Okt (Bernama) -- Thailand merampas lebih 33 juta pil methamphetamine serta 1.3 tan kristal methamphetamine dan ketamin dalam siri operasi besar-besaran di seluruh negara awal bulan ini.

Dalam kenyataan, Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand berkata Polis Diraja Thailand melancarkan operasi bersepadu antara 9 dan 20 Okt, membabitkan 10 kes utama dengan penahanan 16 suspek.

“Beberapa aset milik suspek turut dirampas dan kini dalam siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, yang juga memegang portfolio Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan itu sebahagian daripada dasar utama kerajaan untuk menangani ancaman sosial, khususnya kegiatan pengedaran dadah yang disifatkannya sebagai ancaman besar terhadap keselamatan negara.

“Kerajaan bersedia memberi sokongan penuh kepada semua pegawai penguat kuasa undang-undang - polis, ONCB, tentera dan pihak berkuasa pentadbiran - untuk melaksanakan tugas mereka sepenuhnya.

“Kami akan melindungi pegawai yang jujur dan memperkukuh semua aspek dalam usaha membanteras dadah, termasuk mempertingkatkan kerjasama antarabangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Biro Pembanterasan Narkotik Polis Diraja Thailand pada Selasa.

Perdana menteri turut memuji dedikasi anggota penguat kuasa dalam memerangi dadah.

Sementara itu, Anutin turut mengarahkan Polis Diraja Thailand supaya turut menumpaskan rangkaian penipuan dalam talian di bawah kempen antipenagihan dadah.

“Kerajaan tidak akan membenarkan sebarang aktiviti haram menjejaskan keselamatan negara. Sesiapa yang terus melanggar undang-undang akan ditangkap dan didakwa tanpa pengecualian,” katanya sambil menegaskan bahawa semua aktiviti haram yang mengancam keselamatan negara akan dibawa ke muka pengadilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan