JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

HABIB Lancar Koleksi Wafer Emas Haiwan Liar Sokong Pemuliharaan Zoo Negara

23/10/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Jenama barangan kemas terunggul Malaysia, HABIB hari ini melancarkan Koleksi Eksklusif Wafer Emas 999.9 HABIB X Zoo Negara yang menampilkan empat haiwan ikonik sebagai tanda sokongan terhadap pemuliharaan habitat hidupan liar di negara ini.

Koleksi istimewa itu menampilkan imej Panda, Beruang Matahari, Tapir dan Harimau Kumbang, dilancarkan di Savannah Walk Zoo Negara oleh Pengerusi Eksekutif HABIB Group, Datuk Sri Meer Habib, dan Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.

Pada majlis itu, HABIB turut mengumumkan derma RM100,000 kepada Zoo Negara,  institusi utama dalam pemuliharaan haiwan liar,  khususnya bagi penjagaan Badak Sumbu Putih termasuk Ell, Ella dan Eli.

Meer berkata kerjasama antara HABIB dan Zoo Negara bermula semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020 melalui pelancaran kempen HABIB untuk Zoo Negara Save Our Animals ketika zoo berdepan kekurangan sumber dan pendapatan.

"Kami berbesar hati dapat meneruskan misi ini bersama Zoo Negara yang bukan sekadar untuk keindahan seni rekaan malah bagi memastikan kesinambungan warisan alam kita dengan membantu memulihara haiwan terancam.

"Inisiatif ini juga mendidik masyarakat mengenai pelaburan emas sejak 2020, dengan harga emas meningkat lebih 150 peratus dan tahun ini sahaja melebihi 50 peratus," katanya.

Sementara itu, Rosly berkata kerjasama berterusan HABIB bukan sekadar membantu Zoo Negara dalam penjagaan haiwan dan pendidikan pemuliharaan, tetapi merupakan komitmen bermakna untuk kelangsungan hidup spesies terancam.

Menurut kenyataan HABIB, keluaran istimewa itu diperbuat daripada emas tulen 999.9 dan boleh didapati mulai esok di semua bilik pameran. Harganya RM180 sekeping atau RM720 untuk set lengkap empat keping.

“Setiap wafer emas mengangkat haiwan-haiwan hebat serta memupuk kesedaran mengenai keperluan kritikal memulihara hidupan liar di Malaysia. Ia bukan sekadar tanda penghargaan, tetapi juga satu hebahan tanggungjawab bersama dalam pemuliharaan kehidupan liar,” menurut kenyataan itu.

Pelancaran ini sejajar dengan kempen terkini HABIB iaitu Pesta Emas yang kini berlangsung di seluruh negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai wafer emas serta usaha pemuliharaan HABIB melalui laman sesawang rasmi www.habibjewels.com atau media sosial HABIB di Instagram, TikTok (@habibjewelsofficial), serta Facebook dan LinkedIn (@HABIB).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan