JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Bank Muamalat Rai Deepavali Dengan Sumbangan, Peraduan Dan Video Keharmonian

17/10/2025 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) meraikan sambutan Deepavali tahun ini dengan pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang menonjolkan nilai keharmonian, kekeluargaan dan kemajmukan masyarakat Malaysia.

Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini, memaklumkan telah melaksanakan program sumbangan pek barangan asas untuk membantu keluarga asnaf dan B40 di sekitar ibu kota ketika musim perayaan, sebagai sebahagian usaha menyantuni komuniti berbilang kaum. 

Pek berkenaan mengandungi keperluan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, susu, bihun dan barangan dapur lain, hasil sumbangan sukarela petugas Bank Muamalat menerusi kempen dalaman “Kongsi Rezeki”. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin dalam kenyataan sama berkata sumbangan itu mencerminkan keprihatinan pihaknya terhadap komuniti tanpa mengira bangsa dan agama.

“Dengan semangat ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ yang menjadi teras kepada setiap inisiatif Bank Muamalat, program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan material tetapi juga membina jambatan kemanusiaan antara masyarakat berbilang kaum, sekali gus mengukuhkan nilai empati dan kesepaduan sosial.

“Ini menzahirkan komitmen bank dalam memupuk kesejahteraan masyarakat serta memperkukuh kepercayaan bahawa perpaduan dan saling menghormati asas kepada komuniti harmoni,” katanya.

Selain itu, untuk menambah keceriaan sambutan, Bank Muamalat melancarkan video khas Deepavali bertajuk “Misi Muruku” yang dihasilkan sepenuhnya oleh kakitangan insitutisi kewangan tersebut. 

“Video ini membawa tema keharmonian kaum, nilai kekeluargaan dan kemajmukan dengan mesej utama bahawa keindahan sebenar perayaan bukan hanya pada sambutan, tetapi semangat saling memahami dan menghormati,” menurut kenyataan itu.

Bagi menghargai sokongan pelanggan dan orang ramai, Bank Muamalat turut menganjurkan Peraduan Follow & Win: Mega Deepavali Giveaway yang menawarkan hadiah utama dua unit iPad A16 128GB, terbuka kepada semua pelanggan serta pengikut media sosial mereka.

Bank Muamalat berharap kesemua inisiatif itu dapat memperkukuh hubungan baik dengan masyarakat serta menzahirkan komitmen terhadap nilai kemanusiaan, perpaduan dan kesejahteraan sejagat.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.muamalat.com.my atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat menerusi talian 03-2600 5500 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif Deepavali itu.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan