JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Beberapa Pegawai Kanan ASEAN Tiba Di Putrajaya Hadiri SOM

23/10/2025 08:45 PM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Tujuh pegawai kanan ASEAN tiba di sini hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan sesi persiapan berkaitan, menandakan permulaan siri perbincangan selama seminggu menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Antara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah wakil kanan dari Filipina, Myanmar, Indonesia, Singapura, Vietnam, Thailand dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pegawai kanan berkenaan ialah Hellen B. De La Vega dari Filipina, Han Win Aung dari Myanmar, Sidharto Reza Suryodipuro dari Indonesia, Albert Chua dari Singapura, Dang Hoang Giang dari Vietnam, Eksiri Pintaruchi dari Thailand dan Armida Salsiah Alisjahbana yang mewakili PBB (UNESCAP).

Pegawai berkenaan tiba sepanjang hari, dari pagi hingga lewat petang, dan disambut oleh pegawai serta pegawai perhubungan Malaysia di Bangunan Terminal Utama (MTB) dan Terminal Satelit.

SOM dan sesi berkaitan yang bermula hari ini menjadi persediaan penting bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Okt ini.

Mesyuarat persiapan ini akan membuka laluan kepada sesi peringkat menteri yang akan bermula Jumaat (24 Okt), dan kemuncaknya adalah upacara perasmian yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, ketibaan pegawai kanan ASEAN akan diteruskan esok dan dalam beberapa hari mendatang, diikuti ketibaan Ketua-ketua Kerajaan dan Ketua-ketua Negara daripada Negara Anggota ASEAN serta Rakan Dialog menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung minggu ini.

Di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”, sidang kemuncak tahun ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah ASEAN, berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dan menangani cabaran global secara bersama dan inklusif.

Acara itu turut menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste ke arah proses kemasukannya sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang dijangka dimuktamadkan semasa sidang kemuncak pada 26 Okt ini.

Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan oleh Malaysia diadakan ketika ekonomi global berdepan tekanan semakin hebat akibat langkah tarif Amerika Syarikat dan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.

Antara mesyuarat utama yang berlangsung minggu ini termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 yang memberi tumpuan kepada Pelan Induk AEC 2025, serta Mesyuarat Pakar+4 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) yang akan membincangkan strategi untuk menghadapi cabaran ekonomi dan perdagangan global yang semakin meningkat.

Lebih 20 pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun Sanae Takaichi dijadual berhimpun di ibu negara Malaysia sempena sidang kemuncak itu.

Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan