JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Rakaman Kereta Ditenggelami Runtuhan Tanah Di Paya Terubong Palsu

24/10/2025 06:47 PM

BALIK PULAU, 24 Okt (Bernama) -- Orang ramai perlu lebih beretika dan tidak mencipta atau menyebarkan video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) terutama ketika berlaku bencana.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata demikian susulan penularan rakaman video yang mendakwa kejadian runtuhan tanah di Paya Terubong telah menenggelamkan beberapa kenderaan, yang disahkan sebagai tidak benar.

Beliau berkata rakaman berdurasi tujuh saat itu adalah video palsu yang disunting daripada klip asal menggunakan teknologi AI.

Pada masa sama, Zairil turut menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan perkara yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Diharap pelaku lebih bertanggungjawab terutama pada waktu-waktu begini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Kejadian runtuhan tanah dan air selut di kawasan Bukit Paya Terubong di Tingkat, Paya Terubong 4 di sini disahkan berlaku hari ini tetapi tidak seteruk seperti yang dipaparkan di dalam video berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata kejadian pada 2.41 petang itu tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berlaku ketika hujan lebat tengah hari tadi dan menyebabkan tanah yang berada di puncak bukit iaitu kira-kira 100 meter mengelongsor bersama air selut dan memenuhi kawasan parkir sebuah perumahan di lokasi itu serta selain berlaku limpahan air di jalan raya.

Mohamad Shoki berkata pemantauan juga mendapati 12 kenderaan berada di lokasi kejadian dan pihak bomba telah memberikan khidmat nasihat serta membantu pemilik mengalihkan kenderaan mereka ke tempat lebih selamat.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan