KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Kanada Mark Carney dalam lawatan kerjanya ke Malaysia hari ini hingga 28 Okt, atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menghadiri mesyuarat dua hala serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan ini merupakan lawatan rasmi pertama Carney ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Mac 2025.
Carney akan diiringi isteri Diana Fox Carney selain Menteri Penggalakan Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi serta pegawai kanan kerajaan.
Menurut kenyataan itu, Carney akan menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Okt iaitu beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan mengenai 'Hala Tuju Masa Depan Hubungan Dialog ASEAN-Kanada'.
Beliau juga dijadualkan mengambil bahagian dalam perbincangan pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia pada hari yang sama.
Selain itu, Anwar dan Carney dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dan perbincangan akan tertumpu pada pengukuhan hubungan bilateral, melakar hala tuju baharu untuk kerjasama masa depan dalam meneroka peluang perdagangan dan pelaburan, kerjasama halal, kerjasama tenaga, keselamatan siber dan kesalinghubungan rakyat dengan rakyat.
"Lewat petang itu, Carney dan isteri dijemput menghadiri majlis makan malam gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," menurut kenyataan itu.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Kanada mencecah RM11.32 bilion, menandakan peningkatan 33.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Momentum positif itu berterusan hingga suku pertama 2025, dengan jumlah dagangan mencecah RM3.26 bilion, meningkat 38.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Menurut kementerian, lawatan berkenaan akan memanfaatkan trajektori menaik berkenaan dengan memperluas dan mempelbagaikan kerjasama ekonomi antara dua rakan kongsi dinamik itu.
"Lawatan itu mencerminkan perkongsian strategik yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Kanada, disokong oleh sikap saling menghormati, berkongsi kemakmuran dan visi bersama untuk ketertiban antarabangsa yang stabil, berasaskan peraturan dan kemampanan," menurut kenyataan itu.
Ketua-ketua negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan rakan dialog akan bersidang di Kuala Lumpur untuk memajukan kerjasama serantau dan membincangkan isu antarabangsa, di bawah Kepengerusian ASEAN- Malaysia bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial