| BERITA TERGEMPAR | Air Force One carrying US President Trump has landed at KLIA at 9.54 am | |
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Presiden Majlis Eropah Antonio Costa akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini hingga 28 Okt atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi.
Ini lawatan pertama Costa ke Malaysia sejak menyandang jawatan itu pada Disember 2024.
“Lawatan ini mencerminkan hubungan strategik dan berterusan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU), yang berasaskan kepercayaan, kemakmuran bersama serta komitmen terhadap peraturan global yang mampan,” menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.
Costa juga dijadual menghadiri majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan serta Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober, dan akan menyampaikan ucapan mengenai “Hala Tuju Masa Depan Hubungan Dialog ASEAN-EU”.
Pada hari sama, Anwar dan Costa dijangka mengadakan mesyuarat dua hala yang akan menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan Malaysia-EU, hubungan dialog ASEAN-EU serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meraikan Costa dalam Majlis Makan Malam Gala.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan EU berjumlah RM218.91 bilion, meningkat 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Momentum positif ini berterusan dalam tempoh lapan bulan pertama 2025 dengan jumlah perdagangan mencecah RM145.60 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial