JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Penduduk Terjejas Banjir Dinasihatkan Berpindah, Elak Risiko Keselamatan

25/10/2025 01:10 PM

KULIM, 25 Okt (Bernama) -- Penduduk di daerah ini dinasihatkan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya kediaman dinaiki air atau terputus hubungan akibat banjir bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Pegawai Daerah Kulim Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata terdapat segelintir penduduk masih enggan berpindah dengan alasan ingin menjaga rumah, walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu dan berdepan risiko terputus bekalan makanan.

“Ada yang kekal di rumah kerana tidak mahu tinggalkan rumah, tetapi keadaan itu boleh membahayakan nyawa,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Menengah Agama Madrasah Ihsaniah di Kampung Jangkang, Karangan di sini hari ini.

Mohamad Rizal berkata PPS menyediakan pelbagai kemudahan dan selain penyediaan makanan, pegawai daripada pelbagai agensi turut berada di PPS untuk membantu serta menyalurkan keperluan penduduk.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan pagi, tengah hari, petang serta malam (untuk mangsa banjir). Pembekal makanan juga mematuhi kebersihan dengan saya sudah meninjau beberapa PPS dan mendapati semua berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata Pejabat Daerah Kulim akan terus menyalurkan bantuan tambahan jika diperlukan dengan kerjasama JKM.

Sementara itu, Mohamad Rizal berkata hujan berterusan sejak Khamis menyebabkan beberapa mukim di daerah itu terjejas banjir termasuk Mukim Karangan dan Padang Meha.

“Banjir di kawasan ini agak mengejutkan kerana tahun lepas tidak berlaku, tetapi dua atau tiga tahun sebelumnya pernah banjir. Namun, keadaan terkawal hasil kesiapsiagaan semua agensi penyelamat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan