JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

APM Minta Penduduk Kota Setar Bersedia Berpindah Jika Banjir

26/10/2025 05:46 PM

ALOR SETAR, 26 Okt (Bernama) -- Penduduk di Kota Setar yang tinggal di kawasan berisiko diminta bersedia untuk berpindah sekiranya limpahan air banjir dari beberapa daerah antaranya Kubang Pasu dan Pokok Sena turut menyebabkan bencana itu berlaku di daerah tersebut.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Lt Kol (PA) Mohd Bukhori Mat Sidik berkata pemantauan mendapati air mula mengalir ke Kota Setar dengan ada beberapa kawasan telah dinaiki air, namun keadaan masih terkawal.

“APM dan agensi penguat kuasa yang lain sedang memantau sungai-sungai di Kota Setar dan kita dalam keadaan bersiapsiaga untuk memastikan penduduk di kawasan berisiko sentiasa peka. Mereka juga perlu peka dan paling penting patuh dengan arahan dikeluarkan.

“Kita tidak mahu insiden penduduk tidak mahu berpindah sehingga menyukarkan operasi menyelamat seperti mengharungi banjir pada waktu malam berlaku,” katanya selepas memantau di sekitar Sungai Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan mendapati beberapa mukim di Kota Setar telah dinaiki air antaranya Mukim Langgar yang melibatkan Kampung Tanjung Inggeris serta Mukim Anak Bukit meliputi Kampung Alor Gunung, Alor Madi, Alor Senjaya, Seberang Chegar dan Pantai Johor.

Keadaan sama juga berlaku di Mukim Titi Gajah dengan kampung yang terlibat ialah Alor Petang, Alor Senjaya, Bohor dan Seberang Titi Gajah manakala Mukim Tajar melibatkan Kampung Kuar dan Alor Pak Ngah.

“Air sudah naik, cuma masih terkawal. Kita berharap cuaca baik dan tidak berlaku fenomena air pasang yang boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Bukhori mengingatkan pengunjung pantai peka dengan arahan dikeluarkan untuk mengelakkan kejadian lemas kerana keadaan cuaca tidak menentu tidak sesuai untuk melakukan aktiviti air.

“Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora, jadi keadaan berbahaya kepada bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan